Thursday, January 19, 2012

Presint bandar Perth

Di sebalik sungainya yang permai dan pantainya yang luas, Perth mempunyai presint bandar menarik, yang menawarkan pengalaman beli-belah, kehidupan malam dan makanan yang hebat. Alami suasana dunia perniagaan di pusat bandar Perth, jamu mata di sepanjang Oxford Street di Leederville yang bergaya dan tonton muzik secara ‘live’ di Mount Lawley. Terokai bar hip dan medan selera di Northbridge atau kunjungi teater di sepanjang jalan yang dibarisi pepohon hijau rendang di Subiaco. Terhimpun di sekitar tebing utara Swan River, gugusan bandar ini merupakan tempat warga tempatan bertemu dan menikmati budaya yang menarik.
Pusat bandar raya Perth yang kompak merupakan destinasi yang popular untuk menonton persembahan jalanan dan membeli-belah, King Street dibarisi dengan galeri seni serta butik dan medan selera yang elegan. Untuk mendapatkan rantaian gedung aneka dan fesyen yang bermutu tinggi, terokai pusat beli-belah berhampiran Murray dan Hay Street. Teater Edwardian di Hay Street yang tersenarai sebagai warisan mempersembahkan beberapa balet, opera, teater dan orkestra berskala besar. Nikmati hidangan pra-teater di kafe dan restoran di sepanjang tebing sungai. Jangan ketinggalan untuk mengalami semangat yang disemarakkan menjelang Jumaat petang di bandar raya ini, di mana anda boleh membeli-belah lewat malam atau menyertai warga dunia perniagaan meraikan hujung minggu mereka.
Kehidupan malam bersemangat setiap malam di Northbridge, yang terletak hanya di belakang pusat bandar. Di antara William, James, Aberdeen dan Parker Street anda akan mendapati pelbagai kelab, pub, bar, kafe, serta bermacam ragam restoran dengan harga berpatutan. Berbual dengan mereka yang berkelana di asrama dan tempat berparti bajet, atau selami warisan dan budaya di Pusat Kebudayaan Perth yang luas.
Tidak jauh dari sini adalah Leederville, di mana para pelajar, keluarga dan golongan profesional berhimpun. Penuhihari anda dengan membeli-belah di sepanjang Oxford Street yang hebat. Leederville kembali bersemangat selepas matahari terbenam, apabila warga Perth yang suka berparti mengunjungi pub Irish, kelab bawah tanah yang hip dan medan selera yang dibuka lewat malam.
Anda boleh menonton muzik ‘live’ yang hebat di Mount Lawley, Astor Theatre yang menjadi tempat kepada ramai ahli muzik Australia yang terkenal mengadakan konsert. Teater ini terletak di Beaufort Street, di tengah-tengah rantaian butik, delikatesen, bar dan pub yang menarik, restoran serta tempat makan kasual. Membeli belah barangan rumah atau hasil fesyen yang tiada tiruannya, tinjau bangunan persekutuan dan kolonial yang indah, dan bersantai di taman kecil yang dipelihara rapi.
Menghala ke Subiaco, di mana rahib Benedictine dari Subiaco Itali bermastautin pada tahun 1851. Warisan ini hidup subur pada hari ini dalam seni reka dekoratif Itali dan pusat bandar di bawah teduhan rendang. Muzium Subiaco mempamerkan memorabilia daripada rahib-rahib ini di samping budaya Orang Asli setempat. Bersiar-siar di sepanjang Rokeby Road dan hirup suasana di pelbagai pasar di sini. Dekat Kings Park anda boleh terokai kawasan tebing sungai University of Western Australia yang indah pemandangannya. Saksikan persembahan di Regal Theatre atau Subiaco Arts Centre, kunjungi lobi Hotel Subiaco yang hebat sebelum meninjau suasana barnya yang sofistikated.
Dari kebudayaan ke koktel, presint bandar raya Perth yang kompak, mesra dan bertenaga ini kaya dengan pelbagai tarikan yang mempesona.

0 comments:

Post a Comment