Thursday, January 19, 2012

Tiga hari yang hebat di Perth

Kunjungi tempat-tempat menarik semasa percutian anda di Perth yang terkenal dengan cuacanya yang cerah, keindahan alam semula jadi dan jauh daripada kesibukan.  Belayar menyusuri Swan River yang biru berkilauan atau lihat bandar dan jalan airnya dari Kings Park.  Berenang, bermain luncur air atau hanya menyaksikan matahari terbenam dari Cottesloe Beach, kemudian pergi ke kedai makan yang murah harganya dan bar bertrend di Northbridge.  Makan malam di luar dan nikmati makanan laut Indian Ocean serta jelajahi landskap jalanan abad ke 19 Australia yang dipelihara dengan baik di Fremantle.  Peruntukkan satu hari untuk menjelajah Rottnest Island dengan berbasikal, menaiki bot atau berjalan kaki.  Berenang dan bermain luncur air dari pantai yang putih bersih, snorkel bersama-sama ikan tropika dan batu karang dan lihat sendiri pelbagai hidupan liar.
Perth, WA
Perth, WA

Hari Pertama: Bandaraya, taman dan sungai

Naik bas bandaraya percuma dan singgah di tempat menarik seperti Perth Cultural Centre, Perth Art Gallery dan Swan Bell Tower.  Makan tengah hari di Swan River sambil melihat bot belayar melepasi latar langit bandar ini.   Atau bawa bekalan makanan untuk berkelah di Kings Park iaitu sebuah kawasan tinggi bertingkat yang menghijau dan Botanic Garden.  Bersiar-siar melalui hutan belukar, taman dan tasik dan lihatlah bandar, sungai dan Darling Range dari tempat strategik yang indah seperti State War Memorial.  Naik bas ke Cottesloe Beach dan di sana anda boleh berenang, snorkel atau bermain luncur air di dalam air yang jernih atau beristirahat di halaman berteres di bawah pokok Norfolk Pine.  Saksikan matahari terbenam ke dalam Indian Ocean dari pub atau kafe yang terletak di sepanjang boulevard.  Kemudian pergi ke Northbridge dan anda boleh makan malam di luar dan nikmati beraneka hidangan antarabangsa serta jelajahi banyak pub, hotel dan kelab malam.  Selain itu, tonton pertunjukan muzikal di Perth Concert Hall atau lakonan di Perth Theatre.
Fremantle, WA
Fremantle, WA

Hari Kedua: Berseronok di Fremantle

Belayar menyusuri Swan River hingga ke pelabuhan Fremantle yang sungguh indah.  Makan sarapan lewat pagi di luar di sepanjang South Terrace, kemudian bersiar-siar di jalan yang sibuk yang tersenarai sebagai warisan.  Pada hujung minggu suasana karnival dimeriahkan lagi dengan pasar berwarna-warni dan ahli silap mata dan pemuzik yang berkeliaran.  Beli barang kemas buatan tangan dan hasil kerja seni tempatan, dapatkan bacaan kad tarot anda atau duduk sementara pelukis melukis potret anda.  Ketahui tentang sejarah Fremantle di Western Australian Maritime Museum atau Fremantle Prison.  Lihat tempat untuk menyebat pesalah, tempat untuk menggantung pesalah, bilik kurungan persendirian dan gereja kecil serta ketahui tentang cerita pesalah melarikan diri dengan berani semasa kunjungan anda.  Bersiar-siar dari sini menuju ke Henderson Street iaitu tempat pasar asal Fremantle diadakan dari hari Jumaat hingga hari Isnin dan pada hari cuti umum.  Membeli hasil kerja seni Orang Asli dan hasil tani tempatan, kemudian melihat-lihat kedai buku dan butik di sepanjang South Terrace dan Market Street yang berdekatan.   Pada sebelah petang, nikmati makanan laut di Fishing Boat Harbour.  Kunjungi kilang bir butik dan nikmati hidangan ikan dan kentang goreng di dermaga atau di restoran pinggir air.
Rottnest Island, WA
Rottnest Island, WA

Hari Ketiga: Rottnest Island

Naik feri ke Rottnest Island yang mempunyai 63 pantai, 20 teluk dan tiada kereta yang akan mengganggu kedamaian di sini.  Sewa basikal dan berbasikal melalui pusat pulau ini menuju ke Oliver Hill iaitu tempat senjata api yang besar dipasang dan terowong bawah tanah dibina pada abad yang lalu.   Nikmati pemandangan yang luas dan berjalan ke tasik garam atau rumah api lama.   Lihat pelbagai jenis burung dan quokka, marsupium asli pulau ini.  Berbasikal ke utara menuju ke Little Parakeet Bay untuk berenang di dalam air yang jernih di kawasan perairan yang terkawal.  Berhenti untuk makan tengah hari di kafe di Geordie Bay yang terletak tidak jauh dari situ.  Jika anda lebih suka menjelajah di dalam air, pergi bersnorkel di Parker Point atau merentasi pelbagai tapak bangkai kapal.  Selam skuba di Fish Hook Bay. Terumbu karang di sini menjadikan airnya kelihatan seperti petak-petak berwarna biru yang berlainan.  Bermain luncur air di Strickland, Salmon dan Stark Bay. Ombak di sini boleh mencecah dua hingga tiga kaki lebih tinggi daripada ombak di pantai Perth.  Tamatkan hari ini dengan makan malam sambil menyaksikan matahari terbenam di pub bersejarah tepi pantai pulau ini.

0 comments:

Post a Comment